Sunday 15 June 2014

Warkah buat abah

Abah...
Dah terlalu lama rasanya ayu tak jenguk abah kan? Ayu disini baik baik sahaja. Mungkin juga ayu teruskan hidup dengan sebaiknya. Walaupun kadangkala ayu jatuh tersungkur dengan penerimaan dunia , dengan rintangan kehidupan, tapi ayu harap ayu boleh hadapi semua yang ada. Demi untuk mama.

Abah..
Ingat tak lagi sewaktu ayu memaklumkan pada abah bahawa ayu ingin ke kelas agama ketika darjah 4? Tak abah, ayu tipu abah, aku tak ke kelas agama, ayu ada pertandingan nyanyian. Ayu tahu abah tak suka, sebab tu ayu tak berani nak memaklumkan pada abah. Tapi ayu tak sangka, sehingga habisnya hayat, aku tak pernah sempat memberitahu kebenaran ini.
Ayu minta maaf abah.
Abah ingat tak sebelum abah ke tempat kerja, abah selalu belikan nasi bungkus disertakan dengan nota 'p/s to puteri ayu yang cantik' setiap hari tanpa rasa jemu. Tapi abah, ketika itu ayu selalu rasa kenyang kerana makan di sekolah, jadi ayu buang sahaja nasi itu. Ayu tak sangka ianya akan jadi makanan berserta nota paling ayu rindu dalam hidup ayu. Maafkan ayu abah.
Abah ingat tak sebelum ke sekolah, abah selalu letakkan perfume kesukaan abah di cuping telinga ayu walaupun ayu menolak.Bila ayu tanya kenapa, abah selalu jawab' nanti ayu wangi, baru la ramai kawan'. Ayu tak tahu suatu hari nanti rupanya wangian tu tak pernah akan ayu hidu lagi.
Abah ingat tak dulu bila ayu makan ikan, ayu paling benci jika adanya telur ikan. Tapi abah selalu cakap ' jika ada telur dalam ikan, maksudnya abah selalu sayang ayu' ya abah, ayu percaya kata kata itu. Sehinggalah ayu dewasa kini, ayu masih tersenyum sendiri jika adanya telur ikan, kerana ayu tahu abah selalu sayangkan ayu.

Abah ingat tak ketika abah menyatakan bahawa abah sangat menyayangi sebuah diari kosong tahun 1980? Tapi akhirnya abah berikan pada ayu. Bila ayu tanya kenapa, abah cakap kerana abah lebih sayangkan ayu dari diari ni.

Abah.....
Momen itu takkan pernah luput dari fikiran. walaupun abah tak pernah sempat lihat ayu melangkah ke universiti, walaupun ayu takkan pernah sempat membawa abah ke dewan konvo, tapi ayu tahu, abah sebahagian dari ayu.

Abah...
Kami sekeluarga sihat dan gembira. Kami selalu merindui abah. Walaupun ayu tak dapat lihat abah sekarang, abah sentiasa ada dalam hati ayu. Ayu sentiasa kuat untuk hidup yang mendatang.

Abah...
Terima kasih untuk segalanya. Terima kasih untuk ciuman di pipi setiap kali ke sekolah selama 6 tahun. Terima kasih untuk beratus ratus nota yang mengatakan bahawasanya anak perempuannya ini sangat cantik pada matanya. Terima kasih kerana berikan momen indah untuk hanyat anakmu ini. Sesungguhnya abah , ayu menyayangimu hingga akhirat. Moga kita berjumpa di sana suatu hari nanti abah. Ku doakan semoga rohmu di cucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman. Terima kasih Ya Allah kerana meminjamkan aku suatu anugerah terindah yang tak mungkin aku lupakan.

Selamat hari bapa untuk abah, untuk semua bapa di dunia ini. Moga hargailah mereka. Walaupun aku punya bapa di alam yang berbeza, namun sayang itu tiada sempadan.Walau perjumpaan kami di pusara cuma.

ku coretkan kata-kata bukan lah sebuah cereka. Ini antara keratan hidup aku dan abah. Kenangan manis bagiku yang tak mungkin hilang walau jasad dan nyawa jadi sempadan. -mya-

No comments:

Post a Comment